Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Perbicaraan Ebit Lew bersambung pagi ini


TENOM: Perbicaraan membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew berkaitan pertuduhan gangguan seksual di Mahkamah Majistret Tenom memasuki hari kedua, hari ini.

Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 37, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 10.15 pagi dengan menaiki kereta pacuan empat roda berwarna hitam, diringi beberapa kenderaan lain.

Perbicaraan hari pertama semalam membabitkan seorang saksi pertama pendakwaan yang juga pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu.

Perbicaraan ditangguhkan pada jam 4.30 petang semalam dan disambung pagi ini.

Ebit berhadapan 11 pertuduhan gangguan seksual, iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom di antara Mac hingga Jun 2021.

Ekoran itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida Zakaria, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.

Sementara itu, Ebit Lew diwakili Peguam Ram Singh dan Kamarudin Mohmad Chinki.