“Masa Tu Bob Penjual Tembikai..”- Awie Bongkar Hasrat Bob Lokman Yg Tak Kesampaian Hingga Dia Mninggal
Kuala Lumpur: Pernah berkhidmat membantu merangka perjalanan kumpulan Wings sekitar tahun 1980-an, penyanyi rock legenda Datuk Awie menyifatkan Allahyarham Bob Lokman sebagai seorang yang bercita-cita tinggi. Bermula sebagai penjual buah tembikai, Bob Lokman mula mengikuti kumpulan Wings secara suka-suka pada satu ketika dahulu.
Jelas Awie, kebijaksanaan arwah bertutur dan berkomunikasi antara faktor yang menjadikan beliau sebagai pengurus Wings ketika itu. “Bob adalah pemidato terbaik di sekolahnya jadi itu antara kelebihan dan kebolehan yang menjadikannya sebagai pengurus Wings ketika tahun 1980-an. “Sebenarnya, Bob merupakan peniaga buah tembikai, namun beliau sering mengikut Wings membuat persembahan di beberapa tempat dan akhirnya mengatur perjalanan kerjaya kami.
“Mengenali beliau memang mempunyai cita-cita dan impian yang tinggi untuk berkhidmat kepada masyarakat. Pernah satu ketika, kami bersama-sama menjadi penceramah bebas di Baling, Kedah. “Bob ingin menjadi wakil rakyat untuk orang ramai. Antara hasratnya adalah untuk bertanding,” kata Awie kepada Harian Metro. Mengimbas kembali personaliti dan karakter Bob, Awie menyifatkan arwah sebagai individu yang periang.
Malah, jenaka bersahajanya sering membuatkan rakan-rakan tidak kering gusi dengan kehadirannya. “Ketika awal perkenalan dulu, kami tidak tahu beliau mempunyai kebolehan dalam bidang penulisan. Cuma karakternya yang periang membuatkan kami dekat dan mudah mesra. “Apatah lagi, dengan wajah bersahaja namun membuatkan kita ketawa tidak kering gusi. Itu adalah momen yang diingati satu ketika dahulu ketika beliau bersama-sama Wings,” katanya.
Penulis lirik terkemuka tanah air yang juga pelakon terkenal, Bob Lokman, 58, meninggal dunia hari ini. Difahamkan Bob Lokman atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman meninggal dunia di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan. Terdahulu, penulis lirik itu dilaporkan bergantung nyawa pada jantung kombinasi bateri iaitu alat bantuan jantung, Implantable Automatic Cardioverter Defibrilator (IADC).