Bagi alasan penat main futsal, teman kekasih siapkan tugasan ketika dicekup

MELAKA: Penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) memberi alasan mahu berehat kerana penat bermain futsal sambil menemani kekasih menyiapkan tugasan universiti ketika ditahan kerana berkhalwat, tengah malam semalam.
Pasangan penuntut itu adalah antara pasangan yang ditahan di hotel bajet di Bukit Beruang dan Bachang, di sini, dalam operasi Ambang Merdeka dijalankan Jabatan Agama Islam (JAIM) bermula jam 11.30 malam hingga 3 pagi.
Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat, berkata penuntut masing-masing berusia 19 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama pada jam 12.30 tengah malam selepas gagal menunjukkan sebarang bukti hubungan mahram atau suami isteri ketika disoal siasat pegawai JAIM.
Katanya, ketika serbuan lelaki terbabit tidak memakai baju, manakala kekasihnya memakai baju tidur.
"Mereka mengaku menginap bersama dengan si lelaki mendakwa mahu berehat selepas penat bermain futsal sambil menemani teman wanitanya itu menyelesaikan tugasan universiti.
"Namun, tiada pakaian sukan ditemui ketika pemeriksaan di bilik hotel terbabit sebelum kedua-dua mereka dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan lanjut kerana disyaki berkhalwat," katanya.
Che Sukri berkata, dalam serbuan kedua di sebuah hotel bajet di Bachang, pihaknya menahan lelaki berusia 25 tahun dan pasangannya, 22 tahun pada jam 2.45 pagi.
Katanya, pasangan itu memberi alasan berehat di situ selepas kepenatan walaupun lelaki terbabit hanya tinggal sekitar Cheng, manakala teman wanitanya menetap di Jasin.
"Kedua-dua pasangan disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 iaitu bersekediaman atau berkurung (khalwat), yang mendatangkan syak melakukan maksiat sebelum dibebaskan dengan jaminan.
"Sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya," katanya.